Pengarah didakwa tawar rasuah kepada Annuar berkait ambil alih Menara KL



KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah menawarkan rasuah berjumlah RM500,000 untuk menyegerakan proses pengambilalihan pengurusan dan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Pengarah Hydropshoppe Sdn Bhd, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Dia didakwa menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Tan Ser Lay untuk faedah bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa bagi mempercepatkan proses pengambilalihan.


Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat kementerian itu di Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Hamid berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin. Dia turut diperintah menyerahkan pasportnya dan melapor diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali mulai Mei sehingga kes itu selesai.


Di mahkamah berasingan, Hydroshoppe Sdn Bhd didakwa atas kesalahan sama dan Hamid yang mewakili syarikat sebagai pengarah turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Hakim Rozina Ayob membenarkan ikat jamin RM50,000 berasingan dengan syarat sama seperti pertuduhan sebelumnya.

Mahkamah menetapkan 2 Jun untuk sebutan kes dan penyerahan dokumen serta mendengar permohonan perbicaraan bersama bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Tertuduh diwakili peguam Shu Ivy manakala pendakwaan dikendalikan Mahadi Abdul Jumaat. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram