Isu Menara KL: 2 pengarah syarikat direman 4 hari



PUTRAJAYA: Dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian saham dan pengambilalihan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Perintah reman sehingga 10 Jan itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Semalam, sumber SPRM dilaporkan berkata, kedua-dua individu berusia 49 dan 59 tahun itu, termasuk pengarah urusan syarikat yang menjadi orang tengah mengurus suapan dalam pengambilalihan saham syarikat pengurusan Menara KL, ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.


Menurutnya, pemilihan syarikat terbabit disyaki melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada “orang atasan”.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, tular di media sosial isu berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada Telekom Malaysia melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada Hydroshoppe Sdn Bhd yang menimbulkan persoalan orang ramai. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram