Terima kasih bagi pandangan, tetapi anda bukan kerajaan – Maszlee Malik



KUANTAN: Semua pihak berhak menyatakan pandangan mereka berhubung sistem pendidikan negara, bagaimanapun, tanggungjawab terletak di bahu kerajaan untuk membuat keputusan yang difikirkan terbaik.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, Malaysia baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) meraikan hak semua pihak untuk bersuara.

"Itu pandangan mereka. Tetapi mereka bukan komponen kerajaan," katanya merujuk kepada gesaan dibuat Muslimat Pas supaya sistem pendidikan vernakular dihentikan.

Loading...

"Pendidikan ialah di bawah tanggungjawab kerajaan pusat," tegas Maszlee, ketika diminta mengulas kenyataan Salamiah Md Nor, wakil sayap parti Pas itu, pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Kuantan pada Sabtu.

Maszlee berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kolokium Pendidikan STEM Peringkat Kebangsaan di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, hari ini.

Katanya, Malaysia kini berada pada era demokrasi dan setiap pihak berhak membuat kenyataan serta perlu bertanggungjawab ke atas kenyataan itu.

Loading...

"Ini membuktikan Malaysia baharu ini meraikan semua pihak untuk bersuara dan menyatakan pandangan.

"Namun, aspek pendidikan di negara ini terletak sepenuhnya di bawah kerajaan pusat yang diterajui PH," katanya.

Salamiah mendakwa sistem vernakular tidak menyumbang kepada perpaduan kaum dan menyifatkan Maszlee sebagai tidak melihat sistem pendidikan negara secara lebih jauh. – Astro Awani



Join our Telegram Channel
Telegram