Lelaki bertopeng bakar bilal berjaya ditahan



ALOR SETAR: Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian yang mengakibatkan seorang bilal di Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat melecur di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak sebelum dibakar, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Mohd Rozi Jidin berkata kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur sebanyak 25% di beberapa bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.


Loading...

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berjaya mengesan dan menahan suspek iaitu lelaki berusia 40-an pada pukul 1.30 petang di kawasan flat sekitar Alor Setar. Tangkapan itu telah berjaya dibuat kurang daripada tempoh 6 jam selepas laporan polis dibuat.

“Kita turut merampas sebuah motosikal, minyak petrol dan pakaian yang dipakai oleh suspek. Hasil saringan ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai 2 rekod lampau yang melibatkan kes dadah serta jenayah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Loading...

Beliau berkata suspek juga pernah terlibat dalam satu kejadian khianat menggunakan api di sebuah masjid lain pada Disember tahun lepas.

Rozi berkata hasil siasatan mendapati motif kejadian adalah kerana suspek tidak suka melihat mangsa, yang merupakan ahli jawatankuasa masjid itu, kerana mangsa pernah menolak permohonan bantuan daripada suspek.


Loading...

Ketika kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan mempunyai masalah mental.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, mangsa Amri Budin, 65, yang datang ke masjid itu untuk menunaikan solat Subuh, disimbah minyak sebelum dibakar oleh seorang individu tidak dikenali yang menaiki motosikal dan bertopeng sehingga menyebabkan mangsa melecur teruk di bahagian muka, tangan dan badan sebelah kiri. – FMT


Join our Telegram Channel
Telegram