PH terpegun Nazri bahas cadangan elak MP lompat parti, bertanding atas nama parti



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Umno, Nazri Aziz mencadangkan pindaan undang-undang untuk membolehkan wakil rakyat bertanding di bawah parti politik, bukannya atas nama individu bagi menghentikan amalan melompat parti.

“Kalau kita pinda (undang-undang) begini, bukan saja kita boleh menghalang daripada runtuhnya parti, kita juga boleh membanteras rasuah,” katanya sambil menambah sesetengah ahli Parlimen menganggapnya sebagai peluang untuk menjual kerusi mereka.

“Kalau yang sana ada 109 (kerusi), sini ada 111, jadi mungkin ada 2 atau 3 ahli Parlimen akan ‘harvesting time’, maknanya masa untuk mencari duit,” kata Nazri (PN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang berpendapat amalan sedia ada membuka peluang kepada rasuah berkata: “Kalau kita bertanding lambang, kita tak boleh jual diri kita. Kalau seseorang ahli Parlimen keluar daripada parti, maka ahli Parlimen tak bawa kerusi bersamanya.”


Loading...

Beliau merujuk undian di Dewan Rakyat baru-baru ini, di mana Mohamad Ariff Md Yusof disingkir daripada jawatan speaker dengan majoriti tipis 2 undi dalam usul kerajaan.

Usul itu disokong 111 ahli Parlimen berbanding 109 undi menolak.

Nazri berkata, tiba masanya negara bergerak ke depan dan memastikan insiden sama tidak berlaku selepas rakyat mengundi.

Katanya, undang-undang anti-lompat parti tidak boleh dibenarkan kerana ia bercanggah hak berpersatuan.

“Cara sistem pilihan raya kita mengikut undang-undang Westminster.

“Ada kawasan pilihan raya, tapi kalau boleh kita pindakan, tidak perlu individu dinamakan sebagai calon parti, melainkan kita pertandingkan lambang.”


Loading...

Beliau berkata, majoriti tipis boleh membuka ruang kepada rasuah kerana gabungan parti akan mencari majoriti untuk menguasai Putrajaya.

Katanya, beberapa kerajaan negeri tumbang selepas Adun bertukar kem.

Beliau mengulangi keperluan untuk negara mara kerana tidak beretika untuk ahli politik bertukar kem memandangkan kerajaan baru tidak dipilih rakyat.

“Jika rakyat telah memilih sesebuah parti untuk menjadi kerajaan, ia sepatutnya untuk penggal penuh 5 tahun.”

Katanya, Pakatan Harapan dipilih untuk mentadbir negara, tetapi tumbang akibat masalah dalaman. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram