Penyokong Najib emosi selepas mahkamah umum Najib bersalah



KUALA LUMPUR: Penyokong Najib Razak yang berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini sedih selepas hakim memutuskan bekas perdana menteri itu bersalah terhadap 7 pertuduhan berhubung RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Keadaan kecoh seketika dan sebahagian penyokong yang berhimpun di pintu pagar sejak 5 pagi tadi menjerit serta ada yang menangis kerana kecewa dengan keputusan itu.

Mereka turut melaungkan “Bossku tak bersalah”, “Mahkamah tak adil”, “Dr Mahathir Mohamad kejam”.

Seorang penyokong ahli Parlimen Pekan itu, Asmah Sulaiman berkata keputusan berkenaan tidak adil.


Loading...

“Ini tidak adil, Najib tak bersalah. Bossku orang baik,” katanya dengan nada tinggi.

Seorang lagi penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah dari Sepang, berkata Najib masih mempunyai peluang dan perlu memfailkan rayuan kerana beliau yakin berlaku kekhilafan dalam perbicaraan kes itu,

“Bossku kena rayu balik. Ini adalah salah.”

Seorang lagi penyokong yang tidak mahu dikenali berkata, beliau yakin Najib ialah orang baik dan akan tetap menyokongnya.

“Apa-apa pun yang terjadi, kami tetap akan sokong Bossku sampai mati,” katanya dengan nada sebak sambil dalam nada sebak sambil mengesat air matanya.


Loading...

Putri Maslia yang merupakan penyokong tegar Najib marah dengan keputusan itu.

“Ini sudah salah! Najib banyak tolong saya dulu. Kes SRC untuk bantu orang susah dan dia bantu saya, dia bantu anak yatim, rumah orang tua,” katanya yang berkerusi roda.

Sementara itu, keadaan di pintu masuk Kompleks Mahkamah yang merupakan lokasi penyokong Najib berkumpul, dicemari longgokan sampah seperti bekas makanan, botol minuman, puntung rokok dan topeng.

Majoriti penyokong mula meninggalkan perkarangan mahkamah sejak 1 tengah hari tadi selepas hakim mengumumkan keputusan kes itu.


Mahkamah Tinggi hari ini mendapati Najib bersalah atas semua 7 pertuduhan berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilaporkan berkata, pasukan pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu dan pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kesnya di luar keraguan.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabit bersalah atas tuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.

Beliau dituduh pada 2018 dengan 3 pertuduhan pecah amanah, 1 tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram