Dua kereta Exco Terengganu disimbah cat merah



Dua kereta Toyota milik exco Terengganu, Saiful Bahri Mamat, mengalami kerosakan selepas disimbah cat merah dalam kejadian berlaku pada awal pagi Ahad lalu.

Difahamkan kenderaan Toyota Estima dan Toyota Vellfire Saiful Bahri itu diparkir di kawasan rumahnya di Kampung Pinang Merah, Dungun, Terengganu.


Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kejadian.

Katanya kejadian simbahan cat itu disedari anak exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu itu kira-kira jam 1 pagi ketika dia mahu mengambil barang dalam kereta.

"Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Baharudin juga berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian.


Baharudin berkata simbahan cat ke atas kenderaan turut menimpa anak bekas setiausaha PAS Kawasan Dungun pada hari yang sama.

"Selain itu simbahan cat juga dikesan pada bahagian dinding rumahnya.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat," katanya. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram