Bukit Aman siasat dakwaan polis subahat dalam kegiatan judi di Sg Buloh



Bukit Aman sedang menyiasat kemungkinan penglibatan anggota polis Sungai Buloh dalam melindungi pusat perjudian haram di daerah itu.

Ia selepas seorang pemilik rangkaian gerai burger mendakwa tentang kewujudan sejumlah pusat perjudian tersebut di Banda Baru Sungai Buloh dalam satu video tular dua hari lalu. Dia juga mendakwa tiada tindakan pihak berkuasa ke atas premis tersebut.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya, berkata pihaknya telah memulakan siasatan terhadap perkara itu.

"Bukit Aman sedang menyiasat kemungkinan anggota polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Buloh terlibat dalam melindungi pusat judi di kawasan itu," katanya kepada Malaysiakini.



Zamri berkata polis akan menghubungi pengadu untuk mendapatkan lebih maklumat.

"Kami masih cuba mengesahkan maklumat tertentu daripada pengadu. Kami mahu tahu maklumat spesifik seperti kepada siapa dia adukan hal itu di IPD Sungai Buloh dan JIPS Bukit Aman, seperti didakwanya.

"Maklumat ini penting bagi siasatan kami," katanya lagi.

Mohd Asri Hamid, 42, sebelum ini mendakwa pihak berkuasa tidak bertindak terhadap pusat judi di kawasan itu, yang menurutnya diketahui oleh penduduk tempatan di situ.

Dia berkata demikian setelah polis daerah Sungai Buloh mendakwa pendedahannya berkenaan perkara itu sebagai tidak tepat, boleh bersifat fitnah dan mencemarkan imej polis.

Sebelum ini, dia membuat dua sesi langsung di Facebook untuk menunjukkan apa yang menurutnya premis judi dan gerai, termasuk yang menjual rokok seludup, di sepanjang Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.



Ketika sesi itu, dia mendakwa sikap berat sebelah kerana tiada tindakan daripada polis serta Majlis Bandaraya Shah Alam terhadap mereka, di saat beberapa gerai burger miliknya di sana disita.

Polis Sungai Buloh dan MBSA telah membuat laporan polis terhadap Mohd Asri.

"Saya adalah penduduk asal di situ dan masyarakat sekitar juga tahu mengenai kewujudan premis judi itu. Namun, itu adalah hak polis untuk menafikannya," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Berkenaan laporan polis terhadapnya, dia yang merupakan anggota Persatuan Pengguna Islam Malaysia berkata akan memberikan kerjasama dalam siasatan.

Dia juga berkata telah berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Meluahkan kekecewaannya, dia berkata: "...MBSA yang hanya menyita dua gerai burger termasuk milik saya di lokasi itu semalam, walaupun kami tidak berniaga sedangkan ada ramai lagi peniaga di kawasan berkenaan tidak dikenakan tindakan sama.

"Peniaga Aceh yang membuka khemah di tepi jalan dan menjual rokok seludup serta beberapa premis judi pula masih boleh berniaga seperti biasa tetapi hanya gerai burger kami yang diambil tindakan."

Asri mendakwa telah memohon lesen bagi gerai burger miliknya beberapa kali daripada pihak berkuasa tempatan tetapi ditolak.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata pihaknya telah mengedakan enam serbuan terhadap kegiatan perjudian di kawasan itu pada 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pula berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan kegiatan perjudian dan akan mengambil tindakan terhadap aduan itu. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:











Join our Telegram Channel
Telegram