Kilang haram diberi masa sampai hujung tahun, peniaga kecil cepat pula roboh



Kerajaan Negeri Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jika masih ada mereka yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

“Kami sudah beri tawaran untuk mereka (pemilik tanah dan kilang haram) pulihkan (jalankan proses pemutihan) sejak tahun 2008 lagi. Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020. Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya.

“Tetapi kalau keadaan mendesak dan saya rasa kami boleh laksanakan lebih pantas menjelang bulan November atau Disember ini, ataupun awal tahun depan kami sendiri akan laksanakan secara menyeluruh proses pemutihan tersebut,” katanya.



Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan sempena Menjunjung Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Bagi Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Kuala Langat, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor sebagai usaha kerajaan negeri mengurangkan impak pencemaran terhadap sumber air di Selangor.

“Dalam bab ini saya sendiri akan ketuai jawatankuasa itu dalam masa terdekat dan kali ini kami akan gabungkan teknologi pemantauan sungai seiring dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai agensi pemantauan sumber air.

“Kami juga akan melaksanakan usaha membersihkan kawasan sungai, pengosongan rezab-rezab sungai yang dibangunkan oleh infrastruktur dan bangunan yang tidak mendapat kebenaran,” katanya.



Amirudin juga berkata pihaknya turut menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin semalam yang menitahkan pihaknya supaya mengambil beberapa tindakan berhubung isu berkenaan kerana baginda khuatir sekiranya masalah air berterusan, rakyat akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial.

“Kami memang lakukan cuma kali ini atas titah baginda, semua pihak dan jabatan malah rakyat juga harus dilibatkan dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan sumber bekalan air kita,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengisytiharkan pemasyhuran naik taraf Majlis Daerah Kuala Langat kepada MPKL secara rasminya hari ini atas perkenan Sultan Sharafuddin dan turut menggunakan imej logo perbandaran yang baharu.

Katanya, pada bulan hadapan juga Majlis Pembandaran Subang Jaya juga akan dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya dan beliau berharap agar mutu kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan seiring dengan peningkatan kualiti kerja,” katanya.  – Bernama



Bila peniaga kecil cepat pula dirobohkan

BANGI – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kesal seolah-olah tiada tindakan tegas diambil terhadap kilang yang disyaki punca pencemaran Sungai Gong di Rawang baru-baru ini, berikutan telah beroperasi secara haram sejak enam tahun lalu.

Naib Presidennya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kilang terbabit yang enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika pemantauan dipercayai beroperasi sejak 2014 dan termasuk dalam senarai pemutihan kilang haram.

“Sebaliknya buat peniaga-peniaga kecil, cepat pula dirobohkannya.

“Tidak kira siapa juga kerajaan dan di negeri mana sekali pun, kelihatan biasa ada tangan-tangan di belakang,” katanya menerusi status di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendakwa, pengusaha kilang penyelenggaraan jentera yang disyaki menyebabkan pencemaran Sungai Gong tidak memberikan kerjasama sewaktu pemantauan dijalankan penguat kuasa.


Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kilang itu sudah dikompaun pada Mac kerana beroperasi tanpa lesen dan sehingga kini belum melakukan sebarang permohonan,

Katanya, premis terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak 2014 lalu dan termasuk dalam senarai pemutihan kilang haram.

“Berdasarkan data oleh MPS, pengurusan kilang berkenaan tidak pernah membuat apa-apa permohonan lesen sejak 2014.

“Pihak MPS juga sudah dua kali menyarankan kepada kilang terbabit untuk membuat permohonan lesen selepas dikesan beroperasi sejak enam tahun lalu.

“Selain beroperasi tanpa kebenaran, kilang yang dipercayai sering menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain ini turut membina struktur bangunan dalam kawasan premis mereka tanpa kebenaran bertulis dari MPS,” katanya. – Ismaweb


ARTIKERL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram