Pra-daftar banci dalam talian e-CENSUS tamat hari ini



KUALA LUMPUR 30 Sept. - Pra-pendaftaran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) Fasa 1 secara dalam talian (e-CENSUS) akan berakhir hari ini pada pukul 11.59 malam.

Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan status terkini, masih ramai mereka yang belum menyelesaikan e-CENSUS dengan lengkap.

"Orang ramai yang telah berjaya membuat pra-pendaftaran dan menerima Invitation Code (IC) serta yang mengikuti dan mendapatkan IC di klinik e-CENSUS, boleh melengkapkan pengisian e-CENSUS hingga 6 Oktober 2020 (Selasa), pukul 11.59 malam.


"Bagi orang ramai yang masih belum menerima IC, DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) akan membantu untuk menyelesaikan pandanan alamat kediaman dan membekalkan IC dengan kadar segera sebelum pengisian berakhir pada 6 Oktober 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan terus menghubungi mereka yang membuat panggilan melalui talian hotline dan platform rasmi lain untuk memastikan mereka dapat melaksanakan e-CENSUS.

Ekoran sambutan yang menggalakkkan daripada orang ramai untuk tujuan pengisian tersebut, DOSM telah menambah kekuatan pasukan petugas Banci 2020.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan beberapa sebab proses pengisian e-CENSUS tidak berjaya dilakukan.


"Antara sebab pra-pendaftaran yang tidak berjaya adalah padanan alamat tempat kediaman tidak dapat dibuat melalui sistem e-CENSUS berikutan maklumat yang dibekalkan tidak lengkap atau terlalu umum.

"Wujud perbezaan antara alamat yang dilaporkan dari segi ejaan, kaedah penulisan, huruf singkatan dan tidak mengikut standard penulisan alamat," jelasnya.

Bagi mereka yang tidak berpeluang mengisi e-CENSUS, mereka akan akan dibanci secara bersemuka (Fasa 2) mulai 7 hingga 24 Oktober 2020.

DOSM turut mengalu-alukan orang ramai untuk terus menghubungi pihaknya melalui talian hotline 1-800-88-7720 atau emel helpdesk.banci@dosm.gov.my sekiranya terdapat masalah berkaitan Banci 2020. – DagangNews 



Join our Telegram Channel
Telegram