'Rasul Melayu' ditahan lagi



SHAH ALAM: 'Rasul Melayu' yang kembali aktif menyebarkan ajaran diharamkan pada 1991 ditahan bersama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tiga lokasi berbeza, di sini, malam tadi.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata Rasul Melayu atau nama sebenarnya Abdul Kahar Ahmad ditahan di sebuah rumah di Kemensah, Ulu Klang selepas empat tahun dibebaskan.

"Dia bersama 16 pengikut iaitu sembilan lelaki dan lapan wanita berusia antara 14 hingga 70 tahun, ditahan di tiga rumah di Kemensah, Ulu Klang; Sungai Long dan Keramat.


"Dia dipercayai mengamalkan Ajaran Haji Kahar Bin Ahmad yang difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor," katanya dalam sidang media di Majlis Mesra Media 2020 di SACC di sini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, melalui risikan dan maklumat awam yang diterima JAIS, ajaran ini dipercayai kembali aktif dengan modus operandi (MO) baharu dan berinteraksi dengan pengikutnya menerusi kumpulan sembang WhatsApp dan Facebook.

"Susulan penangkapan 17 individu ini, JAIS sedang mengesan 80 lagi ahli ajaran sesat itu berdasarkan penyertaan mereka mereka dalam kumpulan WhatsApp," katanya.


Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Doktrin Palsu); Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu) dan Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Menghina Pihak Berkuasa Agama).

Selain turut disiasat mengikut Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa); Seksyen 16,Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Penerbitan Agama yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak) dan Seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Percubaan).

Pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat sebelum dibebaskan pada Mei 2016. – Bharian 


Join our Telegram Channel
Telegram