KOTA KINABALU: Semua 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 saluran bagi Pilihan
Raya Negeri (PRN) Sabah, ditutup tepat jam 5 petang tadi.
Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 58 peratus
daripada 1,088,711 pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab itu, setakat
jam 3 petang.
Sebelum ini, SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi ialah antara 70 hingga
75 peratus.
Bagi PRN kali ini, sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding
membabitkan seramai 476 calon mewakili 16 parti, selain 56 calon Bebas.
Proses pengiraan undi bermula sejurus ia dibawa ke pusat penjumlahan undi di
64 lokasi.
Keputusan pertama dijangka diketahui seawal jam 6 petang ini, dengan SPR
menjangka proses penjumlahan selesai kira-kira jam 10 malam.
DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu bagi memberi laluan kepada PRN untuk
membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Join our Telegram Channel