
PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merakamkan rasa terkesan
berhubung kenyataan seorang ahli politik yang menyifatkan insiden pencerobohan
di Lahad Datu pada 2013 sebagai “sandiwara”.
Tanpa menamakan ahli politik yang dimaksudkan, namun dipercayai ia merujuk
kepada pemimpin kanan Warisan dan bekas menteri pusat Mohamaddin Ketapi.
ATM dalam satu kenyataan hari menafikan dakwaan bahawa anggotanya hanya
membuat serangan ke atas “ayam dan anjing” dalam insiden berdarah itu.
Katanya, dakwaan tersebut memperlekehkan tugas serta tanggungjawab tentera
serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika
itu.
“Ini merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh
diterima sama sekali. Kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga
anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Adalah ditegaskan ATM berperanan sebagai benteng pertahanan negara dengan
organisasi ini sentiasa bersedia pada sebarang masa dalam melaksanakan tugas,
terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman,” katanya.
Dalam klip video kira-kira 2 minit yang tular sebelum ini, Mohamaddin, ketika
berkempen bersempena pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 Sept ini berkata,
pasukan keselamatan “mengebom kelapa sawit dan rumah”, dan “pasukan di darat
berperang dengan ayam dan anjing”.
“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya, dengan
menambah semasa berkhidmat sebagai Adun sebelum ini, beliau tidak pernah
menemui lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang
atau mengambil semula Sabah.
Beliau berkata, ramai orang terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu kerana
ia “sandiwara”.
Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah
dan mendarat di Lahad Datu, sekali gus mencetuskan pertempuran dengan pasukan
keselamatan Malaysia.
Insiden itu berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan dan
6 orang awam. Pengganas yang hidup ditangkap atau menyerah diri.
Konflik itu diisytihar tamat pada 10 April 2013.
Dalam pada itu ATM berkata, walau apa pun halangan atau cabaran mendatang,
aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan bagi mengekalkan kesejahteraan
dan kedaulatan negara.
Ia berkata, ATM yang berusia 87 tahun pada 16 Sep 2020 lalu, telah menyaksikan
banyak darah, pengorbanan dan keringat anggota terdahulu yang dicurahkan bagi
memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat pada hari ini
sentiasa terpelihara.
“Adalah diingatkan agar rakyat Malaysia tidak sesekali mengeluarkan sebarang
kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap
keharmonian negara,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe



Join our Telegram Channel