Terima kasih Tun, kata Syed Saddiq selepas dihina Dr M



Dipandang secara skeptikal oleh Dr Mahathir Mohamad, nampaknya Syed Saddiq tetap tidak terkesan dengan rancangannya mahu mewujudkan parti baru dengan dipimpin oleh golongan muda.

Syed Saddiq yang sebelum ini dilihat begitu dekat dengan Mahathir berkata dia menghargai pandangan diberikan ahli parlimen Langkawi berkenaan malah menerimanya dengan baik.

"Terima kasih Tun. Kami terima kritikan dengan hati yang terbuka," ciapnya di Twitter sambil mengepilkan laporan Malaysiakini hari ini.


Terdahulu Mahathir berpendapat langkah dicatur bekas menteri belia dan sukan itu - yang mahu memulakan gerakan baru politik negara - tidak akan berjaya.

Malah Mahathir beranggapan model yang dibawa Syed Saddiq itu tidak sesuai.

“Saya sebenarnya tidak tahu mengapa dia mahu menubuhkan parti baru.

“Di mana-mana kawasan, mesti kena ada orang tua dan orang muda. Kami akan pergi kepada golongan muda juga.


“Kalau dia (Syed Saddiq) hanya pergi kepada orang muda, agak sukar untuknya berjaya. Tapi ini adalah negara bebas, dia mahu lakukan dengan sendiri," kata Mahathir di Putrajaya hari ini.

Kata Syed Saddiq, parti baru itu akan digerakkan untuk semua rakyat Malaysia - sekali gus secara tidak langsung membezakannya dengan Pejuang yang berasaskan Melayu.

"Majoriti yang akan memimpin adalah golongan teknokrat, profesional, usahawan, petani moden, pemimpin persatuan sivil dan lain-lain.

"Kami mungkin muda tetapi kami menyayangi Malaysia," katanya. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram