BN tak sertai PRK Batu Sapi, elak tular Covid-19


Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi bagi membendung penularan wabak Covid-19, kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kata beliau bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan kes baru Covid-19 melonjak selepas PRN Sabah hingga mendorong pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri itu.

“BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilakukan kelak.

“Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Sejumlah pengundi, pekerja pilihan raya, juru kempen, calon dan pemimpin politik diketahui telah dijangkiti Covid-19 setelah pilihan raya negeri.

Setakat ini, 301 kes Covid-19 di luar Sabah dikaitkan dengan perjalanan di negeri ini sejak 20 September, termasuk 18 kes yang dilaporkan hari ini.

Sebahagian daripada kes ini terus menimbulkan kluster jangkitan baru di luar Sabah.

Semalam, veteran DAP Lim Kit Siang menyokong cadangan supaya Perikatan Nasional (PN) dan BN memberi laluan kepada Warisan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.



Turut menyokong cadangan itu ialah Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Susulan kematian ahli parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong pada 2 Oktober,  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata akan mengadakan pilihan raya kecil dalam waktu terdekat.

Menurut Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, menangguhkan pilihan raya melebihi 60 hari seperti yang diwajibkan oleh perlembagaan persekutuan tidak mungkin boleh dilakukan.

"Kita harus teruskannya. Kita masih harus mengadakan pilihan raya walaupun semasa wabak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, kelmarin. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram