
Dua terbunuh manakala dua yang lain cedera parah selepas dua helikopter
bertembung antara satu sama lain berhampiran Taman Melawati, Selangor hari
ini.
Menurut maklumat awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor,
kemalangan itu berlaku menjelang tengah hari.
Difahamkan korban itu membabitkan dua lelaki, manakala mangsa yang cedera
melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita.
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.46 pagi.
Setakat 1.30 petang ini, jurucakap jabatan bomba memberitahu, mayat mangsa
kemalangan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.
Sementara itu laporan Astro Awani menyatakan, seorang daripada mangsa yang
terselamat ialah bekas ketua pegawai eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Dua mangsa yang terbunuh itu dikenali sebagai Mohd Sabri Baharom dan Mohd
Irfan Mohamed Rawi.
Difahamkan Mohd Sabri pernah berkhidmat sebagai juruterbang Tentera Laut
Diraja Malaysia dan menjadi jurulatih penerbangan semasa berkhidmat dalam
pasukan berkenaan.
Sabri dan Irfan berada dalam helikopter yang terhempas, manakala Ahmad Jauhari
bersama seorang wanita dikenali sebagai Tan Chai Elan di dalam helikopter
merah yang sempat membuat pendaratan kecemasan tidak jauh dari sebuah sekolah
di situ.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha berkata siasatan sedang
dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan tersebut.
Sementara itu berdasarkan maklumat pada laman sesawang pemantau penerbangan
menunjukkan kedua-dua pesawat udara itu berlepas dari Lapangan Terbang Subang
pada jam 11.11 pagi dan menuju ke arah Genting Sempah di Bentong, Pahang
sebelum berpatah balik ke Gombak pada jam 11.28 pagi.
Radar kemudian gagal mengesan kedua-dua helikopter terbabit selama enam minit
sebelum muncul semula tidak jauh dari Empangan Batu semasa ia membelok ke arah
tenggara dan terbang lurus sebelum hilang semula pada jam 11.44 pagi.
Mengikut maklumat yang ditemui dalam talian, helikopter berkenaan didaftarkan
sebagai milik syarikat swasta, Cabri Blu Sdn Bhd.
Helikopter Cabri G2 itu dibuat syarikat Perancis, Guimbal, dan dilengkapi
dengan kipas tiga bilah dan mampu terbang berterusan selama empat setengah
jam.
Ia mampu terbang dengan kelajuan maksimum 100 knot. – Mkini
Please subscribe












Join our Telegram Channel