Ketika pentadbiran PH, Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri berkata
akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim tetapi membayangkan - di
belakang tabir - tidak akan membantu meraih sokongan secukupnya kepada
presiden PKR itu.
Dalam usaha pembangkang untuk kembali mendapat kuasa di peringkat
persekutuan, kedua-duanya juga tidak mencapai kata sepakat dalam soal calon
perdana menteri.
Kini, Mahathir secara terbuka berkata Anwar tidak layak memegang jawatan
itu.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan hari ini,
Mahathir berkata bekas timbalannya itu tidak mampu mengemudi negara jika
berlakunya krisis kewangan, dengan menyorot krisis ekonomi pada 1997 sebagai
contoh.
“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi perdana menteri. Saya
telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar
dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.
“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan
untuk mentadbir negara dengan baik.
“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya
dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” katanya dalam
wawancara itu.
Anwar kemudian dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri
kewangan setahun kemudian. Dia melancarkan gerakan Reformasi untuk melawan
Mahathir dan kemudian dijatuhkan hukuman penjara.
Berbaik sebelum kembali keruh
Bagaimanapun, kedua-duanya berdamai buat sementara waktu menjelan PRU14
untuk menentang Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu.
Kerjasama itu membawa kepada gabungan PH, yang terdiri daripada Bersatu di
bawah pimpinan Mahathir, PKR, Amanah dan DAP.
PH berjaya menewaskan BN dan Mahathir dilantik sebagai perdana menteri
ketujuh dengan kesepakatan jawatan itu akan diserahkan kepada Anwar
kemudian.
Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu
daripada PH pada akhir Februari, membentuk kerajaan baru - Perikatan
Nasional (PN).
Susulan daripada kejatuhan kerajaan PH, hubungan antara Anwar dan Mahathir
kembali keruh.
Dalam wawancara itu, Mahathir mempersoalkan penilaian Anwar dalam menangani
krisis kewangan Asia 1997 yang menurutnya mahu mengikut langkah yang
disarankan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Saya pernah berkata kepadanya kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak
akan ada dana yang cukup untuk membayar gaji, tetapi dia masih terus dengan
pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia.
“Sebab itu saya terpaksa ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan
merancangkan pendekatan untuk memulih semula negara kita,” katanya lagi
seperti dipetik.
Mahathir mengambil beberapa langkah tidak konvensional semasa krisis
kewangan Asia, termasuk menambat ringgit pada kadar 3.80 bagi setiap dolar
AS.
Langkah itu dikritik secara meluas oleh masyarakat antarabangsa tetapi
diperakui oleh IMF sebagai tepat selepas Malaysia menjadi antara negara yang
cepat pulih daripada krisis tersebut. – Mkini
Join our Telegram Channel