Berpatah arang selepas Maszlee sokong Anwar



PETALING JAYA: Pembantu Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti baru pimpinan bekas perdana menteri, Pejuang, dan Maszlee Malik berpatah arang selepas bekas menteri pendidikan itu membuat keputusan untuk menyokong ketua pembangang Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di Facebook, pembantu itu berkata, ahli Parlimen Simpang Renggam itu didakwa menandatangani perakuan berkanun (SD) untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Kita semua tahu Dr Maszlee dah tandatangan SD menyokong Anwar Ibrahim. Dr Maszlee berbuat demikian selepas mesyuarat penaja Pejuang bersetuju tidak akan memberi sokongan kepada sesiapa yang bersama dengan kleptokrat dan kita nak tengok dulu siapa sokong Anwar baru kita ‘decide’,” katanya.

Menurutnya, Maszlee juga pergi ke rumah Mahathir untuk makan malam selepas beliau didakwa menandatangani SD sokongan itu.


“Tun kata, ‘dia (Maszlee) tak cakap apa pun, lama ‘duk’ ‘dinner’ cakap macam-macam.

“Daripada nada Tun, kita tahu Tun terasa dengan tindakan Maszlee. Tetapi selepas ‘viral’ pun, tiada usaha daripada pihak Maszlee untuk datang minta maaf atau memberi penjelasan.

“Pihak kita cuba hubungi pun, tak ada jawapan,” kata pembantu itu lagi.

Katanya, walau apa pun yang berlaku, Pejuang menghormati keputusan Maszlee kerana beliau bebas berbuat demikian.


“Tidak mengapa. Kita hormat keputusan beliau. Tun Mahathir? Dia akan teruskan walaupun dia berjuang seorang diri.”

FMT cuba mendapatkan komen Maszlee.

Terdahulu hari ini, Maszlee mengumumkan penarikan diri daripada Pejuang dengan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan “dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci” mengenai aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.

Katanya, beliau akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen bebas dan bekerja dengan NGO kerana mahu memberi tumpuan kepada rakyat, terutama di kawasan Parlimennya.

Pengunduran Maszlee berlaku di tengah-tengah spekulasi berhubung status kedudukannya dalam parti itu selepas nama beliau tidak dilihat dalam satu kenyataan bersama semua ahli Parlimen Pejuang semalam. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee umum keluar parti Pejuang



Join our Telegram Channel
Telegram