KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia bekerjasama semula
dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika “kena caranya”.
“Itu kalau kena cara, ada cara, tapi tak payah saya cerita cara yang boleh
saya kembali kerjasama (dengan Muhyiddin),” katanya ketika ditanya sama ada
beliau sedia bekerjasama semula dengan Muhyiddin dalam program khas eksklusif
bersama Astro Awani malam ini.
Katanya, jika kerjasama itu mahu dijalankan terdapat syarat yang perlu
dipersetujui, namun tidak mendedahkan lanjut mengenainya.
Dr M sedia kerjasama semula dengan Muhyiddin
Mahathir turut mendedahkan, ada pihak daripada kerajaan memujuk dan bertemu
dengannya untuk bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum
ini, tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana ada beberapa perkara tidak
dipersetujui termasuk bekerjasama dengan pemimpin Umno yang mempunyai kes
mahkamah.
“Dah dibuat dah (pujuk), tetapi saya kata biar kena syaratlah. Saya masuk saja
tak jadi apa. Mereka nak tonjolkan saya sebagai menyertai mereka, itu bukan
caranya. Saya dapati banyak yang tak kena.
“Saya dapati gabungan itu terdapat Umno, dengan semua enam orang penjenayah
semua itu. Jadi saya tak mahulah dapat sokongan daripada enam orang ini kita
harus ingat kalau menang pun, enam orang ni, kalau dia pergi ke tempat lain
jatuh juga kerajaan,” katanya.
Dakwa Mahathir, beliau ditawar mengetuai PN jika setuju bekerjasama.
Belanjawan 2021 mungkin lulus
Mengulas Belanjawan 2021, Mahathir tidak menolak kemungkinan ia diluluskan di
Dewan Rakyat.
Namun, beliau berpendapat kerajaan perlu sedar belanjawan berjumlah RM322.5
bilion itu dilihat hanya memberi wang tanpa matlamat tepat.
Katanya, kerajaan dan Kementerian Kewangan sewajarnya mendengar dan mengambil
kira pandangan Ahli Parlimen bukan kerajaan kerana mereka juga membawa suara
rakyat.
“Tetapi ramai yang tidak senang hati dengan belanjawan ini kerana ia nampaknya
seolah-olah satu usaha memberi wang tanpa matlamat. Kita harap kerajaan ini
lebih terbuka, iaitu mereka bukan sahaja nak kita luluskan sesuatu tetapi
dengar juga pendapat kita.
“Jadi kalau kerajaan berasa terhutang budi kepada rakyat, maka mereka harus
terima sekurang-kurangnya sebahagian daripada teguran kita,” katanya merujuk
12 cadangan penambahbaikan diutarakan pihaknya sebelum ini untuk menambah baik
Belanjawan 2021.
Dr M sedia kerjasama semula dengan Muhyiddin
Tak halang Anwar jadi PM
Sementara itu, Mahathir menafikan beliau mempunyai niat untuk menghalang
Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Katanya, Anwar sepatutnya sudah menggantikan beliau sebagai perdana menteri
pada 1998, namun tidak berlaku kerana beberapa perkara tertentu termasuk
dipenjara.
“Saya yang angkat Anwar Ibrahim sehingga dia dapat jadi timbalan perdana
menteri akan mengganti saya jika saya letak jawatan. Tetapi ada perkara
berlaku yang mana itu tak terjadi,” katanya.
Katanya, rancangan sama juga dibuat ketika beliau menjadi perdana menteri PH
untuk memberi jawatan itu kepada Anwar, namun tidak kesampaian apabila
kerajaan pimpinannya tumbang selepas 22 bulan.
“Tetapi dia (Anwar) cerita dekat orang, kononnya saya yang halang dia. Saya
tak ada halangan. Sekarang ini kalau saya nak jadi PM, saya boleh jadi PM.
Tetapi saya pegang kepada prinsip.
Join our Telegram Channel