
Pemuda DAP menggesa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memohon maaf secara
terbuka kepada rakyat dan rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.
Ini selepas Anwar memberi arahan saat-saat akhir untuk tidak meneruskan undi
belah bahagi pada undian Belanjawan 2021 peringkat dasar semalam.
Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat berkata DAP perlu pertimbang untuk
memutuskan "berpisah" dengan PKR dan menyusun semula barisan pembangkang
sekiranya Anwar, yang juga presiden parti itu, enggan meminta maaf.
"Anwar telah mengakui bahawa beliau memberi arahan supaya DAP dan PKR agar
tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
"Jadi, beliau perlu bertanggungjawab dengan sepenuhnya atas kesilapan beliau
dan meminta maaf terhadap penyokong Pakatan Harapan (PH).
"Sekiranya Anwar masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat,
maka pemimpin pusat DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan
PKR, biarlah PH dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling
minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain," katanya dalam kenyataan
media hari ini.
Anwar sebelum ini menjelaskan bahawa dia meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu
dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi
kerana tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri
Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Anwar juga berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa
peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap
kementerian.
Sementara itu, Teh menolak penjelasan bahawa pembangkang akan memastikan undi
belah bahagi di peringkat jawatankuasan.
"Penjelasan seperti ini adalah tidak bertanggungjawab sekali. Bacaan kedua
(peringkat dasar) merupakan peringkat di mana ahli parlimen menyatakan
pendirian mereka berdasarkan prinsip-prinsip.
"Sekiranya belanjawan ditolak di bacaan kedua, maka bacaan ketiga kehilangan
keperluannya.
"Pemimpin PH telah mengelakkan undi belah bahagi di peringkat bacaan kedua,
bagaimanakah kita mampu menyakinkan penyokong bahawa kita akan memandang
serius dalam peringkat yang seterusnya?" soalnya.
Teh turut menyifatkan bahawa kegagalan untuk meneruskan undi belah bahagi
sebagai saat yang paling memalukan dalam sejarah perjuangan DAP di Parlimen
sejak penubuhan parti itu.
Belanjawan 2021semalam diluluskan melalui undian suara.
Meskipun Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar ketika itu mengusulkan undi
belah bahagi, speaker menolak usul itu kerana hanya mendapat sokongan 13 ahli
parlimen, iaitu kurang dua daripada jumlah yang diperlukan.
Susulan itu, beberapa pihak termasuk daripada kalangan pemimpin PH sendiri
menyifatkan keputusan ahli parlimen pembangkang untuk tidak mengadakan undi
belah bahagi sebagai satu kesilapan dan mengecewakan. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- Semua pencarum KWSP terjejas boleh keluar dari Akaun 1 sehingga RM10k – Tengku Zafrul
- Moratorium automatik kepada B40, M40 terjejas boleh mohon
- Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2021
- Ini senarai 13 orang MP yang tidak sokong Bajet 2021
- Biar mati berdiri daripada hidup melutut – Mukhriz
- Mahathir bengang MP pembangkang tak bangun
- Kita akan tolak Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa – Anwar
- Jangan risau, jika proses keluar KWSP 10k rumit, kita tolak Bajet 2021 – Najib
- Belanjawan 2021: Bukan 2, tapi 7 tuntutan Umno, BN dipenuhi
Join our Telegram Channel