Umno boleh galas jawatan TPM namun keputusan di tangan Muhyiddin



Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof berpendapat, tiada masalah untuk mewujudkan semula jawatan timbalan perdana menteri dan memberikan jawatan kabinet kedua tertinggi itu kepada Umno, yang kini sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Redzuan menegaskan keputusan itu terletak di tangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya lagi, jika usaha itu dapat memperkukuhkan kerajaan PN, ia patut dibincangkan dalam peringkat tertinggi bersama Muhyiddin.

“Secara peribadi saya tak nampak masalah (beri jawatan timbalan perdana menteri kepada Umno) kerana kita adalah rakan untuk mentadbir urus (negara) tetapi terpulang kepada perdana menteri sebab beliau yang mewujudkan kabinet dan melantik menteri.


“Saya tidak menidakkan apa yang disebut tetapi kalau itu dilihat dapat memperkasa PN maka kita harus berbincang secara lebih mendalam,” katanya seperti dipetik portal Utusan Online hari ini.

Muhyiddin yang menggalas jawatan perdana menteri pada Mac lalu memutuskan untuk tidak melantik timbalan perdana menteri.

Namun dia telah melantik empat menteri kanan. Antaranya Mohamed Azmin Ali dan Mohd Radzi Jidin (dari Bersatu), Ismail Sabri Yaakob (Umno) dan Fadilah Yusoff dari Gabungan Parti Sarawak.

Isu terbabit telah diperdebatkan selepas Ismail menerusi wawancara bersama Mingguan Malaysia berkata, isu gesaan Umno untuk meminta jawatan timbalan perdana menteri akan dibangkitkan setelah perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selesai.


Tambah Ismail, selain dirinya, Umno tidak diberikan jawatan kabinet tertinggi meskipun memegang majoriti terbesar dalam kerajaan PN.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malah meminta ahli partinya supaya tidak mendesak Muhyiddin untuk mewujudkan jawatan timbalan menteri dan memberikannya kepada Umno.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan mempertahankan pemimpin partinya berhak mendapat jawatan timbalan perdana menteri.

Zahid tidak mungkin dilantik sebagai timbalan perdana menteri sekiranya jawatan itu diadakan semula kerana berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Meskipun Umno dilihat mempunyai bilangan kerusi yang banyak dalam PN, namun Redzuan berkata, peranan dan fungsi Bersatu tidak boleh diketepikan.


“Hari ini banyak kritikan (terhadap parti) yang kita dengar tapi kita tak mengendahkannya dan kita jalan terus sebab objektif kita sudah jelas iaitu untuk membantu rakyat terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Ditanya berhubung keputusan perhimpunan agung tahunan parti itu semalam untuk meminda Perlembagaan bagi memberikan ruang keahlian kepada bukan bumiputera, Redzuan berkata, usaha partinya mencerminkan sifat keterbukaan.

“Malah, keputusan memansuhkan jawatan pengerusi juga tepat kerana sudah lama kita berpendapat tidak wajar satu kapal ada dua nakhoda,” katanya.

Susulan kejadian Langkah Sheraton Februari lalu, parti tersebut berpecah kepada dua kem iaitu penyokong kepada presidennya Muhyddin dan bekas Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram