BAGAN DATUK: Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan ahli Umno tidak mendesak
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mewujudkan semula jawatan timbalan perdana
menteri dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.
Presiden Umno berkata, kuasa melantik timbalan perdana menteri, menteri dan
timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri.
“Oleh yang demikian, spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai
jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincangkan secara umum walaupun
memang diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti. Hak pelantikan itu
adalah hak perdana menteri.
“Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita
harus menghormati kuasa yang ada di tangan perdana menteri,” kata Zahid yang
juga Ahli Parlimen Bagan Datuk selepas bersarapan bersama penduduk setempat di
Warung Kopi Atan Deris di Jeti Hutan Melintang hari ini.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dalam satu temu bual eksklusif bersama
sebuah akhbar tempatan dilaporkan berkata, isu jawatan timbalan perdana
menteri untuk diisi pemimpin Umno akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan
2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat selesai.
Join our Telegram Channel