![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhJi31UbeRNnD8vMbFeYybzDgfZma0mebhqI_5NGYhTkpY1lZqFN7eBThHEbPVzJLRMXV-qht1zHUpj2dpaovc-ySPxtvQFgzlkxm80a55oKApGmHOksgOCeuuugOrYDSLx4hcNO_NQK_Yu/w640-h334/isinar.webp)
PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan dua
kategori ahli KWSP yang layak mengeluarkan wang simpanan Akaun 1 menerusi skim
i-Sinar.
Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata,
kategori pertama termasuk ahli KWSP yang bekerja di sektor formal, yang
bekerja sendiri dan bekerja dalam sektor ekonomi gig.
Kategori pertama itu turut melibatkan ahli KWSP yang sudah lama tidak
mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa
gaji.
“Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan secara
automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara
dalam talian melalui
isinar.kwsp.gov.my
mulai 21 Disember 2020.
“Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula pertengahan Januari 2021,” kata
kenyataan itu hari ini.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, kategori kedua adalah untuk ahli KWSP
yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan
sebanyak 30 peratus dan ke atas.
Jelas kenyataan itu, ia termasuk pengurangan gaji dan elaun atau pemotongan
tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020 yang mana pengurangan tersebut
hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen diberikan.
Kata kenyataan itu, KWSP memerlukan dokumen sokongan bagi kategori kedua iaitu
slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian
atau pemotongan elaun dan atau tuntutan kerja lebih masa.
Jelas Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, jika dokumen terbabit tidak boleh
dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat
pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.
“Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui
isinar.kwsp.gov.my
mulai 11 Januari 2021,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, ahli KWSP yang mempunyai baki RM100,000 ke bawah
dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum RM10,000 dan pembayaran akan
dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran
pertama sehingga RM5,000.
Kata kenyataan itu, ahli KWSP yang mempunyai baki lebih RM100,000 dalam Akaun
1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 yang mana lebih
rendah daripada Akaun 1.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhkCHZY2KN73szPkoaP2uV1BanCY_zk5HbXSMf-fCQS7P1gfFu6PdJRvvcvH3iN6GDlKXiWtenp3oSokAFsV2f40Umth6q2M2NxIe68bAZD4t5De3siK6b90zmPEaRwIYnjjSXxiNvhYm7J/w472-h640/abac237ccfc0c7077d0d8e27ef9d0abd.webp)
Join our Telegram Channel