Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi berdepan kemungkinan akan jatuh
sekali lagi jika pengundian kali ketiga Belanjawan 2021 gagal mendapat
sokongan majoriti esok, kata Dr Mahathir Mohamad.
Menyatakan hal itu Mahathir berkata ahli parlimen perlu memikirkan kepentingan
rakyat melebihi kepentingan sendiri atau jawatan kerana ketika ini rakyat
sudah cukup marah kepada kerajaan.
Justreru bekas perdana menteri itu berkata dia dan Ahli Parlimen Gua Musang
Tengku Razaleigh Hamzah sedia menawarkan diri untuk membantu mengembalikan
negara dan membantu rakyat.
"Ada kemungkinan esok, bila undian untuk bacaan ketiga belanjawan, ada
kemungkinan kerajaan akan kalah.
"Saya harap mereka yang berada di parlimen akan tidak memikirkan diri mereka
sendiri, tetapi memikirkan tentang negara.
"Saya harap cadangan kita ini akan tercapai, jika wakil rakyat dalam dewan
memberi kepercayaan," katanya dalam sidang media khas di ibu negara, hari ini.
Sidang media itu menarik perhatian ramai kerana diadakan ketika tahap sokongan
yang diterima Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri terus diragui.
Tak payah gaji pun tak apa
Tengku Razaleigh sendiri menganggap kerajaan sekarang tidak mendapat
keabsahannya dan Muhyiddin bukan perdana menteri yang memiliki keabsahan.
Pengerusi Lembaga Penasihat Umno itu sebelum ini menulis kepada Speaker Dewan
Rakyat Azhar Harun untuk memaklumkan dia tidak akan menyertai perbahasan
Belanjawan 2021 selagi keabsahan Muhyiddin dan kerajaan PN tidak
dibuktikan.
Tambah Mahathir lagi, dia dan Tengku Razaleigh sedia memberikan khidmat kepada
untuk mengembalikan kegemilangan negara dan mereka sedia melakukannya tanpa
bergaji.
"Kami berdua tak payah gaji pun tak apa, kerajaan (sudah) bagi banyak duit
pencen," katanya.
Esok adalah hari bacaan kali ketiga Belanjawan 2021. Asalnya pembangkang
memberi bayangan untuk menolak usul itu semasa di peringkat dasar namun
sebaliknya ia diluluskan dengan mudah ketua pembangkang Anwar Ibrahim
mengarahkan tiada usaha mencabarnya dibuat melalui undian belah bahagi.
Belanjawan itu kemudian dijangka dicabar sengit di peringkat jawatankuasa
namun setakat ini tiada satu pun yang berjaya digagalkan melalui undi
pembangkang.
Mahathir berkata, kerajaan sekarang tidak ada strategi untuk membawa dasar
bagi membela rakyat sebaliknya hanya terlibat dengan politik termasuk untuk
kepentingan diri sendiri.
"Tak ada satu strategi untuk memulihkan ekonomi negara dan juga untuk
menangani masalah Covid-19.
"Kami harap kami akan dapat sokongan bagi menjayakan idea ini," katanya lagi.
Ditanya tentang jumlah sokongan ahli Parlimen yang telah diperolehinya
sehingga kini, Mahathir berkata ia terpulang kepada anggota Dewan Rakyat.
Begitu juga dengan jawatan perdana menteri terserah kepada ahli Parlimen untuk
menentukan siapa.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel