AYER KEROH – Kerajaan negeri Melaka akan melakukan pemotongan gaji Ketua
Menteri dan semua Exco sebagai langkah penjimatan dalam mendepani pandemik
Covid-19.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pemotongan 10 peratus
gaji selama setahun bermula Januari ini akan disalurkan ke Tabung Bencana
Negeri Melaka sebagai langkah membantu lebih ramai rakyat yang terjejas ekoran
impak Covid-19.
“Kita telah bermesyuarat di kalangan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri semua ahli majlis telah bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 10
peratus pada tahun hadapan selama setahun.
“Insya-Allah duitnya nanti hasil pemotongan (gaji) kita akan pulangkan nanti
pada rakyat negeri Melaka,” kata Sulaiman kepada media selepas Persidangan
Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14,
di sini hari ini.
Sementara itu, Sulaiman turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan setengah bulan
gaji atau minimum RM1,000 kepada 5,000 penjawat negeri ini.
Katanya, insentif berkenaan akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada bulan
ini serta Januari.
Belanjawan 2021 yang bertemakan Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagia
Rakyat, Menggamit Dunia dengan anggaran hasil 2021 sebanyak RM 445.96 juta
serta peningkatan 14.28 peratus berbanding tahun sebelum ini.
Join our Telegram Channel