Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban kecoh



SEREMBAN - Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban pada malam Isnin yang diadakan di Bangunan UMNO Negeri Sembilan kecoh apabila berlaku pertengkaran mulut membabitkan beberapa ahli jawatankuasa termasuk Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussain.

Kekecohan dikatakan bermula apabila Ketua UMNO Bahagian, Mustafa Salim secara tiba-tiba menangguhkan mesyuarat tanpa memberi peluang kepada jawatankuasa yang hadir untuk memberikan pandangan.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila muncul sekumpulan individu lain yang bukan dalam kalangan ahli mesyuarat.


Zool Amali berkata, mesyuarat khas berkenaan diadakan bagi menentukan pelaksanaan Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian minggu ini sama ada dibuat secara maya atau bersemuka.

"Tapi baru lima minit mesyuarat, ia ditangguhkan. Saya selaku Ketua Pemuda UMNO bahagian cuba mendapatkan penjelasan daripada Mustafa, tapi telah dihalang oleh beberapa individu.

"Tiba-tiba sahaja mereka datang, mereka bukan ahli mesyuarat, ahli jawatankuasa semua tidak tahu siapa mereka jadi memang berlaku pertengkaran dan saya memang ada menengking dan tegas kerana mempertikaikan kehadiran mereka.


"Mereka juga cuba memprovokasi saya dan dari situ bermula pertengkaran. Lagipun mesyuarat dilakukan pada waktu malam, tiada kehadiran orang awam lain dibenarkan selepas waktu pejabat," katanya.

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berhubung kejadian pada hari yang sama.

Sementara itu video kekecohan tersebut turut tular di media sosial sejak malam Isnin yang menyaksikan beberapa individu bertengkar dan menengking di antara satu sama lain.

Bagaimanapun tiada yang cedera dan pertengkaran itu ditenangkan dengan kehadiran pihak polis. – Sinar



Please subscribe


Join our Telegram Channel
Telegram