PETALING JAYA – Tampil menggayakan busana yang seolah-olah menampakkan
bahagian bahunya (off shoulder) dalam sebuah acara, pelakon Natasha Hudson
enggan melayan komen-komen yang akan ditinggalkan netizen.
Kata Natasha atau nama sebenarnya, Natasha Liana Hudson, 38, netizen perlu
bersikap matang dalam memberikan pendapat dalam media sosial.
“Saya harus katakan, orang tidak akan pernah berhenti bercakap tentang kita
terutama kita yang berkerja dalam bidang seni.
“Saya hanya mengikut apa yang penganjur cadangkan pakai namun saya tidak
tergamak untuk pakai baju yang terdedah menampakkan bahu. Bahagian yang
terdedah itu berlapik kain,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Natasha ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan, Crystal C White yang
menyaksikan dirinya dan Keith Foo sebagai wajah dan ikon produk tersebut.
Kata Natasha lagi, dia tahu batas-batas sebagai seorang muslimah dan okey
sahaja andai dikritik netizen.
“Ada pasukan untuk busana yang saya gayakan hari ini. Ada tatarias dan mereka
tahu apa yang dilakukan.
“Ini bukan majlis pelancaran kedai mamak, ini pelancaran produk kecantikan
tetapi orang boleh cakap sahaja apa yang mereka mahu,” ujarnya.
Terdahulu, dalam satu acara yang diadakan di ibu negara hari ini, Natasha
menggayakan busana berona putih yang seperti menampakkan bahagian bahunya
walaupun berhijab.
Momen-momen tersebut turut dikongsikan Natasha menerusi InstaStorynya. Selain
bahagian mahu yang kelihatan seperti terdedah Natasha yang pernah tampil
dengan imej bepurdah satu ketika dahulu itu juga mengundang kecaman apabila
gaun yang dipakai juga turut terbelah sehinggga menampakkan betis pada
bahagian belakang.
Kemunculan semula wanita berstatus ibu tunggal itu sememangnya ditunggu ramai
apatah lagi turun naik kehidupan peribadinya yang sentiasa penuh dengan
kejutan.
Natasha sebelum ini pernah berkahwin sebanyak empat kali. Perkahwinan pertama
bertahan selama empat bulan, diikuti perkahwinan kedua dengan ahli politik,
Datuk Shahrin Zahari juga tidak bertahan lama.
Dia kemudian berkahwin dengan penyanyi hip hop Khalid Kamal atau Carleed Khaza
yang juga bekas penyanyi kumpulan Phlowtron pada 15 April 2012.
Hasil daripada perkahwinan kedua dan ketiganya, Natasha dikurniakan tiga anak
iaitu Nessa Helena, Naeema Khaleela dan Faatimah namun mereka bercerai pada
2018.
Pada Oktober dua tahun lalu (2019), bintang filem filem Chermin itu
mengejutkan ramai apabila mengesahkan perkahwinan kali keempatnya yang
didirikan bersama ahli perniagaan, Noor Nashriq Sekanor pada 7 Disember
2018 juga berakhir dengan perceraian. – Kosmo
ARTIKEL BERKAITAN: Natasha Hudson nikah kali kelima hari ini?
Join our Telegram Channel