PETALING JAYA – Seorang wanita kesal selepas akaun Facebooknya digunakan oleh
suaminya untuk memberi komen berbaur lucah di siaran langsung Menteri Kanan
(Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri semalam.
Perkara tersebut menjadi tular selepas komen berkenaan dikecam teruk oleh
ramai pengguna Facebook.
Bagaimanapun, pemilik sebenar akaun tersebut yang dikenali sebagai Dilla,
telah memuatnaik satu hantaran status bagi menjelaskan keadaan sebenar.
“Akaun Facebook itu milik saya, Puan Dilla. Tiada kata-kata untuk saya
ungkapkan sebagai seorang perempuan yang beragama islam, seorang guru, seorang
anak, seorang isteri.
“Apa tindakan saya sebagai seorang isteri yang bila mana suami menggunakan
akaun Facebook saya meluahkan kata-kata seperti itu. Walaupun saya telah
padam, benda dah tersebar.
“Dan saya rasakan ini ujian bagi saya. Allahuakbar,” katanya.
Beberapa jam selepas kenyataan pemilik akaun sebenar itu dimuat naik, seorang
lelaki yang mendakwa dirinya merupakan suami kepada wanita terbabit telah
memuatnaik sebuah klip video pengakuan dan memohon maaf.
“Saya sebenarnya yang menulis komen itu menggunakan telefon isteri saya tanpa
pengetahuannya. Sebenarnya, komen itu ditujukan kepada pihak kerajaan agar
segera tamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya tidak berpuas hati dengan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan.
“Jadi, saya minta abaikan komen tersebut. Saya akui status itu tidak elok
dibaca oleh orang ramai,” jelasnya dalam sebuah video berdurasi lapan minit.
Menurutnya, komen itu telah dipadam kira-kira sepuluh minit kemudian tetapi
sempat dirakam oleh pengguna lain.
Join our Telegram Channel