Bertugas dengan norma baru pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ada
guru mendakwa mereka turut berdepan dengan gangguan lucah oleh segelintir
"murid nakal".
Bagi seorang guru dari sebuah sekolah di Kepong yang mahu dikenali sebagai
Cikgu N, mendedahkan dia diganggu dengan tayangan video lucah oleh pelajar
ketika sesi PdPR berlangsung.
"Murid mengganggu proses PdPR yang menggunakan platform Google meet dengan
menyiarkan video lucah.
"Perkara ini dilakukan oleh murid tingkatan satu, mereka berani berbuat
demikian kerana mereka belum bersemuka dengan guru," katanya kepada
Malaysiakini.
Apabila berdepan dengan gangguan sebegitu, kata Cikgu N, dia terpaksa
menghentikan sesi PdPR.
Bagaimanapun katanya tindakan itu akhirnya akan memberi kesan serta merugikan
pelajar lain yang tidak terbabit.
Jelas Cikgu N, bukan dia saja yang berdepan dengan gangguan sebegitu
sebaliknya masalah sama turut dihadapi guru lain.
Sesi persekolahan 2021 dijalankan mulai 20 Jan lalu secara PdPR ekoran ancaman
wabak Covid-19 yang belum reda.
PdPR ialah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau
pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia kaedah itu boleh dilaksanakan secara
dalam talian atau luar talian atau off-site dengan berstruktur dan terancang.
Menerusi pendekatan dalam talian, cara pembelajaran melalui capaian internet,
peranti dan belajar secara waktu sebenar (real time).
Bagi pelaksanaan luar talian pula murid belajar menggunakan peranti seperti
komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian internet.
Selain itu, untuk membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau
peranti sesuai, guru mengambil inisiatif melaksanakan PdP melalui serahan
bahan pembelajaran kepada murid mengikut kesesuaian.
Seorang lagi guru yang enggan namanya didedahkan, turut mengalami nasib sama
seperti Cikgu N iaitu diganggu murid dengan video dan gambar lucah ketika
PdPR.
"Saya terkejut dengan kejadian yang tidak diingini, apatah lagi ketika itu
pelajar murid-murid sekitar 100 orang sedang mengikuti pembelajaran.
"Disebabkan seorang murid nakal yang buat hal, habis sesi pembelajaran
terpaksa dihentikan," katanya.
Join our Telegram Channel