ALOR GAJAH: UMNO mengenal pasti dua ahlinya yang sering membocorkan segala
maklumat setiap kali mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu kepada pihak
tidak bertanggungjawab.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi sewaktu berucap di hadapan Ketua-ketua Bahagian, Pergerakan Wanita,
Pemuda dan Puteri UMNO peringkat Perhubungan Negeri Melaka di Villa D’Acqua
Homestay, Masjid Tanah, Isnin lalu.
Yang hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf
Yusoh dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Ahmad Zahid bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan
kerja meninjau persiapan Barisan Nasional (BN) negeri ini dalam menghadapi
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, dedah sumber, bekas Timbalan Perdana
Menteri itu jelas berang dengan sikap dua Ahli MT berkenaan kerana sanggup
menyalurkan semua maklumat dan butiran setiap kali mesyuarat.
“Ahmad Zahid maklumkan dua MT iaitu masing-masing lelaki dan wanita dikenal
pasti hasil siasatan dilakukan.
“UMNO tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba
menghancurkan parti. Presiden UMNO akan umumkan nama mereka tidak lama lagi
serta tindakan yang mungkin diambil iaitu memecat keahlian mereka daripada
UMNO,” katanya yang hadir dalam perjumpaan terbabit.
Bagaimanapun, kata sumber itu lagi, Ahmad Zahid tidak mengumumkan nama
kedua-dua mereka dan dari bahagian mana.
Dalam ucapan itu juga, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut meminta seluruh
bahagian di negeri ini melakukan gerak kerja yang lebih tersusun untuk
memenangi hati rakyat, bagi meyakinkan pengundi untuk memilih UMNO dan BN.
“Presiden UMNO tidak mahu ahli parti yang hanya pandai berpidato tetapi
hasil gerak kerja di peringkat bahagian dan cawangan tidak dilaksanakan
dengan sempurna,” jelas sumber itu lagi. – Utusan
Join our Telegram Channel