SHAH ALAM: Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas
aplikasi Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, kerana gagal hadir pada prosiding
sebutan kes dan penyerahan dokumen hari ini tanpa sebarang sebab.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari, selepas
Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asnaf Anuar Sharuddin memohon waran tangkap
dikeluarkan terhadap tertuduh.
“Tertuduh (Chan), peguam bela serta penjamin tidak hadir dan saya memohon agar
waran tangkap dikeluarkan,” kata Aliff Asnaf.
Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan waran tangkap tersebut dan
untuk tertuduh menyatakan sebab tidak hadir pada prosiding hari ini.
Pada 24 Feb lepas, Chan didakwa melakukan kesalahan menyiarkan hantaran
menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam dengan menggunakan sebuah
laman web bagi menyiarkan satu catatan “Top 10 Sugar Baby Universities in
Malaysia” pada 10 Feb lepas.
Join our Telegram Channel