Umno masih berpegang pada ketetapan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan
PKR seperti mana yang diputuskan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kata
ketua penerangannya, Shahril Hamdan.
Justeru, menurutnya, terpulang kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk
mencanangkan kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno.
"Keputusan dasar perhimpunan agung Umno 2019 masih terpakai dan kenyataan
semua pemimpin tertinggi Umno berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama
dengan PKR dan DAP.
"Menolak kerjasama dengan Bersatu tak bermaksud mesti terus bersama dengan
orang lain.
"Hakikatnya, Majlis Tertinggi (MT) (Umno) belum pernah mengubah keputusan
dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP," katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Terdahulu Anwar mendakwa bahawa terdapat perbincangan tidak rasmi antara
partinya dan Umno mengenai kemungkinan kerjasama untuk pilihan raya umum (PRU)
ke-15.
Anwar mengumumkan bahawa dia akan mengadakan sidang media hari ini pada pukul
4.30 petang di mana dia dijangka akan menyentuh isu tersebut.
Dia juga dijangka mengulas mengenai tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang
meninggalkan parti baru-baru ini.
Difahamkan, kedua-dua parti tidak berpuas hati dengan parti Bersatu yang
diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menerima penyertaan sejumlah
anggota parlimen yang berpaling tadah dari Umno dan PKR.
Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Anwar berkata bahawa
kerjasama itu tidak lebih daripada sekadar untuk menyelamatkan negara daripada
kebobrokan.
Menari ikut rentak orang
Dalam pada itu, Shahril berkata Umno tidak boleh menari dengan mengikut rentak
orang lain.
Sebaliknya parti itu perlu memberi fokus pada pengukuhan dalamannya serta
menarik sokongan rakyat kepada Umno.
"Jika Anwar masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi
politik dengan Umno, itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama
ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.
"Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan
penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, di samping berusaha keras
memenangi keyakinan rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel