Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN) yang berlangsung malam
ini, menggesa kerajaan membawa
keputusan penghakiman berhubung isu penggunaan kalimah Islam
ke Mahkamah Rayuan.
Menerusi kenyataan dikeluarkan MN, gabungan itu menyatakan keprihatinan amat
serius terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan
kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.
“Mesyuarat juga menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif
menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam
kerangka Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat juga bersetuju untuk terus
mengukuhkan MN.
Kenyataan media itu diedarkan Setiausaha Agung Umno merangkap Setiausaha Agung
MN Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi aplikasi Whatsapp dan laman Twitternya.
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa penganut agama
Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga
perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan
pendidikan.
Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang
bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan
kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian,
Jill Ireland Lawrence Bill.
Terdahulu mesyuarat MN berkenaan antara Umno dan PAS berlangsung kira-kira
tiga jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala
Lumpur, antara lain membincangkan agenda pemerkasaan gabungan itu.
Mesyuarat dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan
dan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan disertai
12 ahli pimpinan tertinggi masing-masing dari kedua-dua parti. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel