Umno dan PAS Selangor menolak pelantikan dalam Penggerak Komuniti Tempatan
(PeKT) yang ditawarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
PeKT adalah inisiatif KPKT yang berperanan seperti ahli majlis Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) lantikan kerajaan negeri, di negeri-negeri yang dikuasai
pembangkang.
Umno dan PAS memberi isyarat bahawa mereka tidak senang dengan jawatan itu
digunakan untuk tawar-menawar.
"Umno dan PAS Selangor berpendapat bahawa jawatan dalam kerajaan bukan
bertujuan untuk tawar-menawar tetapi untuk menjaga kebajikan rakyat.
"Ia tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu," kata
mereka dalam kenyataan bersama malam tadi.
Ahli Parlimen Ampang daripada Bersatu, Zuraida Kamaruddin adalah Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Umno sebelum ini telah menyenaraikan calonnya untuk jawatan dalam PeKT di
Selangor tetapi kemudian membatalkannya sebagai tanda sokongan kepada PAS.
"PAS Selangor telah menolak jawatan PeKT dengan tidak mencalonkan nama.
"Sebagai tanda solidariti dan sokongan, Umno juga memutuskan untuk menolak
jawatan yang ditawarkan walaupun telah mengemukakan nama sebelum ini," kata
mereka.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Umno Selangor Noh Omar dan
Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi.
Secara kebiasaannya, kerajaan persekutuan akan melantik penyelaras parlimen di
kawasan yang dikuasai pembangkang.
Ia agar parti pemerintah mendapat kredit bagi projek pembangunan yang
dijalankan di kawasan itu, pada masa sama menafikan peruntukan kepada wakil
rakyat pembangkang.
Dengan PeKT, KPKT juga menggunakan cara ini di peringkat kerajaan tempatan.
Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari sebelum ini berkata akan ada 288
jawatan PeKT di Selangor, dengan masing-masing mendapat elaun RM2,000 sebulan.
Kerajaan Selangor pula berkata tidak akan mengiktiraf mana-mana wakil PeKT di
negeri itu, tetapi Zuraida berkata kerajaan negeri tiada suara dalam soal itu.
Hari ini Zuraida berkata dia akan mendapatkan penjelasan berhubung penolakan
tawaran oleh Umno dan PAS.
"Kita perlu dapatkan penjelasan sama ada itu satu situasi yang tulen atau
tidak.
"Saya baca kenyataan mereka buat mesyuarat, dan mesyuarat buat keputusan
begitu. Tapi tak mengapa, kita akan berjumpa dengan mereka dan memutuskan
perkara itu," katanya kepada pemberita di Shah Alam, pagi tadi.
Keputusan Umno dan PAS di Selangor ini menambah lagi kerumitan hubungan
politik dengan Bersatu.
Di peringkat persekutuan, presiden PAS Abdul Hadi Awang berkeras bahawa ia
akan tetap menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang
dipimpin oleh Bersatu. PAS juga mahu Umno bekerjasama dengan PN.
Join our Telegram Channel