Kuala Terengganu: "Berasa sangat bertuah kerana dipilih untuk melihat kalimah
di langit dan saya terus berdoa," kata Mohd Nor Firdaus Ibrahim.
Mohd Nor Firdaus, 34, dari Kampung Kuala Belara, Manir antara individu yang
melihat kalimah Allah terbentuk di awan ketika menjalankan tugas di Pasar
Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam, di sini, hari ini.
Kalimah Allah yang jelas terbentuk di awan kira-kira 3 pagi itu menjadi tular
di media sosial sehingga ada yang mengaitkan peristiwa itu dengan malam
lailatul qadar yang berlaku sekali pada Ramadan.
Katanya, dia sedang menjalankan rondaan di pasar berkenaan sebelum melihat
awan yang berbentuk kalimah di langit.
"Ketika itu tidak ramai lagi pengunjung di pasar itu dan kejadian itu berlaku
sangat singkat sehingga tidak semua orang sempat merakam gambarnya.
"Hanya kurang lima minit awan itu terbentuk kalimah sebelum ia dibawa angin
dan tidak lagi berbentuk kalimah.
"Pengalaman yang sangat bermakna kepada saya sepanjang menyambut Ramadan,
melihat kebesaran Allah melalui kalimah itu menyebabkan tangan menadah ke
langit dan berdoa," katanya.
Tambahnya, dia tidak berani untuk mengaitkan kejadian itu dengan malam
lailatul qadar.
"Memang kalimah itu dilihat pada malam Jumaat dan pada Ramadan tetapi ia tidak
berlaku pada 10 akhir Ramadan.
"Bagaimanapun kejadian itu tetap memberi keinsafan dan ingatan kepada saya
terhadap kebesaran Allah SWT," katanya yang juga Pembantu Penguatkuasa Majlis
Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Menurutnya, dia meminta rakan setugasnya merakam gambar kalimah itu di awan
ketika kejadian.
Join our Telegram Channel