Melihat kerajaan gigih mempertahankan kewajaran agar parlimen tidak bersidang,
Najib Razak hari ini secara sinis menempelak salah seorang menteri Perikatan
Nasional (PN).
Merujuk kepada laporan berita yang memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri
Takiyuddin Hassan, bekas perdana menteri berkata, dia melihat PN kini lebih
mengutamakan kesihatan ahli parlimen berbanding orang awam.
"Rupanya keutamaan kerajaan PN ialah untuk melindungi kesihatan ahli parlimen
yang telah divaksin agar tidak dijangkit Covid-19.
"Habis itu, kesihatan puluhan juta murid-murid sekolah serta pengunjung ke
bazar Ramadan sampai (jam) 2 pagi, hotel dan konvensyen, pasar malam, acara
dan perhimpunan politik PN, cinema, pusat urut, 'shopping mall', kedai 4D,
kasino Genting dan sebagainya yang belum diberi vaksin, macam mana pula?
"Tak perlu lindung dan tak jadi keutamaan kerajaan PN ke?" tulis Najib dalam
satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, Takiyuddin berkata kerajaan memberi jaminan sidang parlimen akan
segera diadakan apabila tiba masa yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas
darurat ditamatkan.
Setiausaha Agung PAS itu memberi janji tersebut ekoran wujud gesaan berterusan
pelbagai pihak supaya parlimen dibenarkan bersidang ketika pelbagai langkah
diumum kerajaan menimbulkan kebimbangan.
Bagaimanapun menurut Takiyuddun, keputusan membuka semula parlimen atau tidak
bergantung kepada nasihat dan pandangan pelbagai pihak terutamanya daripada
Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Join our Telegram Channel