Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai
perdana menteri demi kestabilan politik masa depan, kata Ketua Menteri Sarawak
Abang Johari Openg.
Ini dinyatakan menjelang pertemuan antara Muhyiddin dan pemimpin GPS di
Kuching, lewat petang ini.
“Pada masa depan kalau kita punyai kestabilan politik yang baik, ini akan jadi
tarikan kepada pelaburan dan pembangunan kita.
“Sebab itu GPS sokong PM (Muhyiddin) jadi PM kerana menstabilkan negara. Kalau
negara kita stabil, kita dapat hadapi cabaran lebih besar,” kata kata Abang
Johari, di Kuching, hari ini.
Dia bercakap pada perjumpaan kakitangan awam Sarawak dengan perdana menteri.
Muhyiddin tiba di Kuching, pagi tadi bagi mengadakan lawatan kerja selama dua
hari.
“Kerjasama di antara kerajaan Sarawak dan persekutuan begitu akrab, begitu
juga dengan hubungan di antara penjawat awam di negeri ini,” tambahnya.
GPS yang dipimpin Abang Johari dan dianggotai empat parti tempatan yang
membentuk kerajaan negeri masih kekal sebagai sekutu Perikatan Nasional (PN)
yang dipengerusikan oleh Muhyiddin bagi membantu membentuk kerajaan
persekutuan.
Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti lain dalam GPS yang
ditubuhkan pada Jun 2018 itu ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti
Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Muhyiddin kemudian mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri itu yang
menyatakan sokongan terhadapnya.
"Saya tidak jangkakannya... Sokongan khas dari ketua menteri Sarawak (kepada
saya) sebagai pemimpin kerajaan (persekutuan), bukan hanya sekarang tetapi
untuk masa depan juga.
“Moga-moga doa kita akan dimakbulkan,” kata perdana menteri.
Abang Johari sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri akan segera
membuat keputusan berkaitan hubungannya dengan Putrajaya.
Kerajaan Perikatan Nasional kini dikatakan goyah susulan tindakan Umno yang
memutuskan hubungan dengan parti Bersatu yang diterajui oleh Muhyiddin tetapi
bersetuju untuk terus kekal dalam pemerintahan sehingga Ogos.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga telah memberi amaran bahawa parti itu
mungkin menarik sokongan kepada PN pada bila-bila masa.
GPS bukan anggota gabungan PN, tetapi adalah sekutu kerajaan pusat.
Tidak jelas sama ada pengumuman Abang Johari hari ini bermaksud kedua-dua
mereka akan bekerjasama pada pilihan raya akan datang atau sebaliknya.
Antara yang menjadi duri dalam daging dalam PN adalah PAS, sekutu utama
Bersatu.
Sarawak meraikan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membenarkan
orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Bagaimnapun, PAS mendesak Putrajaya untuk membuat rayuan berhubung perkara
itu, yang mendorong timbalan pengerusi GPS mengingatkan parti Islam itu untuk
tidak campur tangan.
Join our Telegram Channel