KUALA LUMPUR: Umno mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas
yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.
Setiausaha Agungnya Ahmad Maslan, berkata keputusan itu dicapai dalam
mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno hari ini selepas banyak laporan polis
dibuat mengenainya.
Pada 5 Feb lalu, Ahmad membuat laporan
di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung buku itu.
Menerusi kenyataan, beliau berkata laporan itu dibuat selepas mendapati buku
itu mempunyai kesalahan fakta dan unsur hasutan yang boleh mencetuskan rasa
tidak senang antara kaum di Malaysia yang mendorong kepada tindakan berbaur
perkauman ke atas kerajaan atau Raja.
Sementara itu, Ahmad berkata Umno turut mendesak dan mengesyorkan kepada
kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kembali bersidang selaras
titah Yang di-Pertuan Agong, yang menzahirkan pandangan Parlimen boleh
bersidang semasa tempoh darurat.
Katanya, antara rasional utama dipertimbangkan termasuk kerajaan tidak boleh
dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.
“Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah medan semak dan imbang dalam
kalangan wakil rakyat agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka
hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat yang hari ini
berdepan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran,
kos sara hidup rakyat dan harga barang yang meningkat.
“Mesti ada akauntabiliti terhadap segala aspek kewangan negara termasuklah
perbelanjaan wang rakyat, peningkatan jumlah hutang negara yang melangkaui 60%
daripada KDNK (bertentangan dengan Akta Hutang Negara yang diluluskan di
Parlimen), penggunaan buat kali pertama dalam sejarah Kumpulan Wang Amanah
Negara (KWAN) yang merupakan benteng terakhir negara untuk menghadapi keadaan
sekiranya sumber asli negara kehabisan,” katanya selepas mesyuarat Majlis
Kerja Tertinggi Umno di Menara Dato Onn.
Beliau berkata, keyakinan dan kepercayaan pelabur terutama dari luar akan
terus terhakis sekiranya amalan demokrasi berparlimen digantung sehingga tiada
lagi aspek “good governance” dari segi semak dan imbang dalam kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kenapa Tommy tak tulis pasal gugur kes Guan Eng, dakwa musuh politik Dr M? tanya Najib
- Tommy Thomas dedah Dr M, Guan Eng, IGP tak layan cadangan untuk tangkap Jho Low
- Tuduh bunuh Altantuya, Najib tuntut Tommy tarik balik dakwaan, tuntut ganti rugi RM10 juta
- Tommy Thomas disiasat kerana memfitnah
- Tommy langgar sumpah – Ahmad Zahid
- UMNO lapor polis buku Tommy Thomas
Join our Telegram Channel