Umno serius memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN),
tegas Presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengulas status gabungan itu selepas PAU
2020.
"Justeru, saya berharap rakan politik Umno dalam Muafakat Nasional berfikirlah
sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat
Nasional yang asli.
"Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu
yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan genuine
(ikhlas)," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.
Ahmad Zahid pada hantaran sama juga menyertakan pautan laporan berita
bertarikh 5 April 2019 yang memetik Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan
Man mengenai kemungkinan muafakat PAS dan Umno boleh memenangi 132 kerusi
parlimen.
Untuk rekod, pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) disertai PAS, parti
serpihan Umno Semangat 46, Berjasa, Hamim dan Kongres Muslim India Malaysia
(Kimma) sebelum PRU tahun 1990.
Kimma meninggalkan gabungan itu sebelum pilihan raya umum pada 1995. Secara
rasmi APU bubar selepas PRU10.
Sementara itu, Zahid hari ini berkata sejak Piagam Muafakat Nasional dimeterai
pada 14 September 2019 pelbagai kejayaan dilakar bersama PAS dan Umno.
"Kemenangan banyak pilihan raya kecil (PRK) dan bersama memperjuangkan
kepentingan rakyat," katanya.
Pun begitu, Zahid membangkitkan mengenai "Muafakat Nasional yang sebenar" yang
telah meraih keyakinan rakyat tetapi kini sudah berubah hati.
"Mereka (rakyat) percaya kepada Muafakat Nasional yang itu, bukan yang ini.
"Kerana sinergi yang terbentuk antara Umno dan rakan partinya dalam sebuah
gabungan penuh tulus ikhlas," katanya lagi.
Ahli parlimen Bagan Datuk itu dipercayai merujuk perkembangan politik PAS di
persada tanah air susulan Langkah Sheraton yang membentuk kerajaan Perikatan
Nasional.
Ini berikutan PAS kemudiannya menyertai gabungan politik PN dan dalam masa
yang sama masih mengekalkan hubungannya dengan MN.
Umno pada PAU 2020 mempertegas pendiriannya untuk mengakhiri kerjasama dengan
Bersatu sebaik PRU15 bermula.
Semalam, Bersatu dan PAS dalam satu kenyataan bersama menegaskan akan terus
mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi pilihan raya
umum (PRU) ke-15.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS dan Bersatu, Takiyuddin
Hassan dan Hamzah Zainudin.
Untuk rekod, sebelum ini, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain dilaporkan
berkata kerjasama APU tidak dapat bertahan lama kerana sikap saling
mempercayai hilang antara dua parti tunjang Semangat 46 dan PAS.
Menurut felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti
Malaya (Umcedel) itu, Semangat 46 mendakwa kerjasama politik APU berat sebelah
apabila PAS mendominasi dan mementingkan diri sendiri.
Saya tahu pelbagai persoalan ditimbulkan ramai pihak berhubung status Muafakat Nasional seusai Perhimpunan Agung UMNO...
Posted by Zahid Hamidi on Thursday, 1 April 2021
Join our Telegram Channel