PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi meminta Menteri
Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mempelajari cara menjadi pemimpin yang memahami
rakyat, bukannya berjiwa pegawai bank.
Beliau berkata demikian dalam catatan Facebook sebagai mengulas kenyataan
Zafrul yang tiada lanjutan pelaksanaan program i-Sinar dan i-Lestari oleh
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Puad berkata, rakyat sedar KWSP bukan institusi kewangan seperti bank.
Tetapi, beliau mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikan KWSP
seperti bank dan rakyat hanya mahu mengeluarkan sedikit simpanan mereka untuk
menempuh situasi sukar.
“Tengku Zafrul kata KWSP bukan bank, rakyat memang tahu. Rakyat bukan mahu
keluarkan caruman mereka setiap hari.
“Masalahnya, kerajaan PN yang jadikan KWSP macam bank. Kalau rakyat dah tengah
susah, kenapa nak keluarkan sikit pun tidak boleh?
“Betullah itu simpanan hari tua. Tua sampai bila? Sampai mereka mati
kebuluran?” soalnya dalam catatan di Facebook.
Mengenai isu moratorium pinjaman bank, Puad turut mempersoalkan kenyataan
Zafrul yang kerajaan tidak boleh memaksa dan mengawal bank.
“Tengku Zafrul kata kerajaan tidak boleh paksa bank. Kerajaan tidak kawal
bank. Bukankah kerajaan yang keluarkan lesen bank?” soalnya.
“Zafrul kena belajar makna ‘pemimpin berjiwa rakyat’, bukan pemimpin berjiwa
‘banker’.”
Minggu lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, hasil
perbincangan bersama Bank Negara Malaysia, industri perbankan memberi jaminan
dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman
serta moratorium.
Join our Telegram Channel