Atok tikam nenek kerana cemburu sebelum bunuh diri



SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas menikam isterinya dengan sebilah pisau sehingga mati sebelum menggantung diri dalam kejadian di rumah mereka di Taman Kimsar, Prai di sini hari ini.

Kejadian berkenaan disedari oleh anak lelaki pasangan itu berusia 28 tahun ketika pergi ke rumah berkenaan kira-kira pukul 3 petang apabila mendapati kedua-dua orang tuanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, pasangan itu dipercayai berselisih faham sebelum wanita tersebut disyaki ditikam oleh suaminya.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati wanita berusia 54 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah di atas katil, manakala suaminya berusia 65 tahun ditemui mati tergantung di bahagian dapur.

“Siasatan lanjut mendapati tiga kesan tikaman pada dada, leher dan perut mangsa wanita, manakala sebilah pisau turut ditemui di dalam bilik tempat mayat wanita ditemui,” katanya kepada pemberita hari ini.


Rahimi berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca dipercayai akibat perasaan cemburu dan perselisihan faham pasangan berkenaan.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya di sini bagi urusan bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram