Selepas 6 bulan hilang di Mekah, Ustaz Musthafa disahkan meninggal dunia



BATU PAHAT: Selepas kira-kira enam bulan dilaporkan hilang ketika menunaikan umrah di Tanah Suci,  guru Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, dekat sini, Musthafa Kamal Abdullah, 49, disahkan meninggal dunia.

Pengesahan kematian jemaah itu dibuat Kedutaaan Malaysia sekali gus menamatkan penantian keluarga Musthafa berhubung keadaan Allahyarham yang hilang sejak 12 Disember tahun lalu.

Walaupun pahit untuk diterima, keluarga Allahyarhan menerima berita itu dengan reda dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah apatah lagi meninggal dunia di tempat yang diimpikan oleh semua umat Islam.

Anak sulung Allahyarham, Muhammad Nabil, 26, berkata, dia sekeluarga menerima pengesahan itu daripada Kedutaan Malaysia kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.


Katanya, solat jenazah ghaib dilakukan selepas solat Jumaat.

Katanya, dalam masa yang sama mereka berasa lega dengan pengesahan terbabit setelah hampir enam bulan menanti perkhabaran berkaitan kehilangan arwah bapanya yang sebelum ini seolah-olah tiada penghujungnya.

“Saya diberitahu oleh pihak kedutaan di sana yang ayah sebenarnya meninggal dunia pada 13 Februari lepas melalui pengesahan biometrik. Semua pengurusan jenazah telah selesai termasuk pengkebumiannya.

“Kini saya bersama ibu, adik beradik dan ahli keluarga yang lain hanya menunggu dokumen pengesahan kematian ayah selain agak terkilan kerana proses pengesahan kematian itu agak lama,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Sri Gading, di sini, hari ini.

Nabil yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu berkata, selain menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga tertunggu-tunggu punca sebenar kematian bapanya serta lokasi arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Ujarnya, dia berhasrat membawa ibu dan empat adiknya untuk menziarahi pusara arwah bapanya yang disemadikan di sebuah tanah perkuburan di Mekah dalam masa terdekat.

“Saya menganggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya dan bersyukur ayah meninggal dalam keadaan yang baik (berihram) serta dalam bulan yang baik (Rejab),” katanya. 

Terdahulu, pada 6 Disember tahun lalu, Musthafa dilaporkan ke Mekah untuk  menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz, 17 dan dijangka pulang pada 18 Disember namun dilaporkan hilang pada 12 Disember. 

Muhammad Nabil serta Muaz kemudiannya ke Mekah pada 20 Jan lepas bagaimanapun usaha mencari itu menemui jalan buntu. – Utusan 
Join our Telegram Channel
Telegram