Bekas CEO Astro kini disiasat SPRM kes kaitan 1MDB



PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjalankan siasatan berhubung penglibatan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan dengan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber SPRM berkata, siasatan berkenaan dilakukan susulan pendedahan yang dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner berhubung kes tersebut di Mahkamah New York, Amerika Syarikat kelmarin.

“Siasatan telah pun dijalankan SPRM berikutan pendedahan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc., Tim Leissner dalam kes 1MDB di Amerika Syarikat kelmarin berhubung pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta kepada Rohana.


“Keterangan Rohana telah pun diambil SPRM kira-kira pukul 9 pagi semalam di SPRM Putrajaya yang mengambil masa selama kira-kira enam jam,” katanya.

Difahamkan, siasatan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Sementara itu, Rohana menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners mengesahkan telah dipanggil oleh suruhanjaya berkenaan untuk siasatan lanjut dan sedia memberikan kerjasama penuh.

“Saya telah hadir di pejabat SPRM dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan berkenaan,” katanya.


Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan siasatan itu.

“SPRM akan memberi perkembangan lanjut berhubung kes ini sekiranya perlu dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Leissner ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat memaklumkan bahawa dia mempunyai hubungan dengan Rohana.

Memetik laporan oleh Bloomberg, Leissner ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle menjelaskan bahawa hubungan tersebut telah berlanjutan sejak 2003 hingga 2013. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram