Rumah AS$10 juta: SPRM panggil bekas CEO Astro sekali lagi



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi mengambil keterangan bekas eksekutif kanan sebuah syarikat televisyen bersatelit susulan pendedahan berhubung pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

Menurut sumber, wanita itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini pada kira-kira 9 pagi dan proses mengambil keterangan beliau berlangsung selama tiga jam.


“SPRM ambil keterangan beliau sekali lagi hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa perkara. Terdapat beberapa dokumen yang SPRM ambil daripada beliau bagi membantu siasatan,” katanya.

Wanita itu telah memberi keterangan kepada SPRM Khamis lepas yang berlangsung selama sembilan jam bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut yang disebut dalam perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat.

SPRM memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.


Isu berkaitan rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu disebut oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

Leissner telah mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram