SPRM ambil keterangan bekas CEO Astro susulan pendedahan Leissner



PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sudah mengambil keterangan daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan susulan pendedahan dibuat bekas eksekutif Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dalam kes membabitkan 1MDB di Amerika Syarikat semalam.

Utusan Malaysia yang memetik sumber melaporkan, satu siasatan telah pun dijalankan SPRM berikutan pendedahan Leissner berhubung pemberian sebuah rumah di London bernilai USD10 juta kepada Rohana.

Sumber berkata, siasatan itu akan dilakukan SPRM mengikut mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.


“Keterangan Rohana telah diambil SPRM kira-kira pukul 9 pagi tadi di SPRM, Putrajaya,” katanya ringkas.

Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan sulit dengan Rohana.

Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan sulit berkenaan, Leissner memetik beberapa termasuk Rohana, menjelaskan hubungan itu sudah berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.

Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterima daripadanya semasa bekerja dengan 1MDB dan dia mengaku, malah membelikan kekasihnya rumah tersebut pada 2013 selepas Rohana mengancam mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang anti rasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.


Tidak banyak maklumat berkaitan Rohana, bagaimanapun, beliau dilaporkan sebagai bekas CEO Astro dan telah berkhidmat dengan syarikat media tempatan itu selama kira-kira 20 tahun dan meninggalkan Astro pada 2019.

Jelas Leissner, dia telah membincangkan hubungannya dengan Rohana kepada majikannya ketika itu merangkap bekas Ketua Asia, Richard Gnodde ketika awal permulaan hubungan berkenaan.

Katanya, ia adalah perkara sensitif kerana Goldman berurusan (perniagaan) dengan Astro manakala Richard pula yang kini menjalankan perniagaan bank antarabangsa memberitahu supaya dia berhati-hati tentang hubungan dengan kliennya (Rohana).

Bagaimanapun, kata Leissner, dia meneruskan hubungan itu selama 10 tahun lagi dan hampir semua orang di wilayah Asia Tenggara mengetahui perkara tersebut. – FMT


Bahagian depan rumah yang dikatakan didaftarkan atas nama Datuk Rohana Rozhan di Montpelier Street di London (dipetik dari TheVibes), yang belum disahkan sebagai rumah yang dibeli oleh Tim Leissner bernilai AS$10 juta (RM41.9 juta) supaya berdiam diri atas skandal kewangan 1MDB. – Gambar The Move Market, 24 Februari 2022



Join our Telegram Channel
Telegram