PAS tak akan bubar DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu



PAS memilih untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Malah, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan terus mentadbir tiga negeri berkenaan sehingga akhir penggal.


"PAS mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

"Justeru, PAS membuat pendirian supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kelantan, Terengganu, dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya, bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, enam negeri dijangka tidak akan membubarkan DUN masing-masing sekiranya plihan raya umum (PRU) ke 15 diadakan segera.

Aminuddin berkata, perkara itu ada dibincangkannya bersama lima negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.


Tanpa menyebutkan lima buah negeri lain itu, dia berkata, kesemua negeri terlibat telah menyatakan hanya akan membubarkan DUN selepas penggal tamat.

Selepas PRU ke 14 pada 2018, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh kerajaan PH, manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sejak keruntuhan pentadbiran PH pada 2020, gabungan parti politik yang diterajui atau mesra Umno telah menang besar pada pilihan raya di Sabah (GRS), Sarawak (GPS), Melaka (BN) dan terbaru Johor (BN). – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram