JAHAT: Bubur untuk sedekah dimasukkan selipar



PETALING JAYA – Tular sebuah video menunjukkan kekecewaan seorang lelaki yang terkilan apabila bubur kacangnya telah ‘dianiaya’ oleh orang lain.

Menerusi video yang dikongsikan oleh @ashhryyyyy di media sosial, hajatnya untuk bersedekah juadah tersebut akhirnya tidak kesampaian setelah terkejut melihat beberapa pasang selipar dimasukkan ke dalam bekas buburnya itu.


Menurut lelaki tersebut, sebagai kebiasaan kakaknya akan membuat satu bekas bubur kacang atau pulut hitam untuk disedekahkan kepada pelanggan yang datang ke kedainya sepanjang bulan Ramadan.

“Jauh perjalanan setiap hari dari Tanjung Sedili ke bandar Johor untuk bagi pelanggan rasa percuma.

“Tak tahu mana silap, sayang sangat, rasa sedih sebab buka sahaja penutup bekas ada selipar dalamnya, tak tahu siapa yang buat macam ini,” luahnya.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut sebak dan simpati terhadap nasib lelaki itu.


Dalam pada itu, mereka juga berharap serta mendoakan agar dia tabah menerima ujian tersebut dan akan digantikan dengan rezeki yang lebih luas.

“Ya Allah, jahatnya siapa buat macam ini, makanan dalam itu, moga Allah akan ganti rezeki yang luas, tak apa, Allah tahu niat baik awak,” kata seorang pengguna.

“Ramai yang dengki tengok kita senang, nak bantu beri sedekah pun ada orang hati busuk, moga Allah beri balasan kepada mereka yang suka menyusahkan orang lain,” ujar pengguna lain. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram