Najib kena tipu – Zaid Ibrahim



BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim yakin bahawa Datuk Seri Najib Razak ditipu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, sebelum ini, beliau mempercayai bahawa bekas Perdana Menteri itu terlibat dalam skandal 1MDB, namun berubah fikiran selepas mendengar dan meneliti kes itu, malah yakin Najib telah ditipu dengan orang disekelilingnya khususnya Jho Low dan pegawai 1MDB sendiri.


“Lapan tahun dahulu, saya dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menghina Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam ucapan-ucapan, saya mengkritik cara beliau mengendalikan 1MDB dan bagaimana duit kita banyak hilang kerana 1MDB… Masa itu saya yakin dia (Najib) terlibat dalam skandal 1MDB secara langsung tapi lepas mendengar kes-kes di mahkamah khususnya kes SRC dan 1MDB yang sedang berlangsung sekarang ini.

“Saya berubah fikiran dan yakin bahawa Najib kena tipu.. bukan sahaja Jho Low tetapi pegawai-pegawai beliau, pegawai 1MDB, beliau ditipu oleh Goldman Sachs, bank pelaburan terbesar di dunia; ditipu Aabar Investments dari Abu Dhabi,” katanya menerusi satu rakaman video dimuat naik dilaman Facebooknya.


Beliau berpendapat, kehilangan wang berbilion ringgit yang dilaporkan itu, bukanlah kesalahan Najib atau dengan erti kata lain bukan beliau yang merancang semua itu.

“Memang sebagai Perdana Menteri beliau bertanggungjawab, tapi itu soal lain. Pertanggungjawaban itu beliau sebagai Perdana Menteri tetapi saya rasa dia bukanlah yang merancang untuk menipu rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

 

Join our Telegram Channel
Telegram