Siti Bainun insaf, rayu hukuman ringan − Peguam



KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, agar pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah insaf.

Peguam, Mohammad Farhan Maaruf berkata demikian ketika hujahan mitigasi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, berhubung prosiding keputusan kes mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella.

Beliau turut memohon, mahkamah mengambil kira bahawa ini merupakan kesalahan pertamanya.


“Saya rayu, mahkamah pertimbangkan kecederaan yang dialami oleh Bella, hanya melibatkan kedua belah tangan dan seluruh badan yang terlibat merupakan parut yang telah sembuh.

“Ini menunjukkan Siti Bainun bukan insan yang kejam dan dia cuba baik mungkin untuk menjaga Bella.

“Jika hukuman pemenjaraan dikenakan terhadapnya, ia akan menjejaskan kesihatannya,” kata peguam itu.


Peguam itu berkata, hukuman penjara boleh digantikan dengan hukuman denda maksimum, sebagaimana yang terkandung dalam undang-undang.

Mahkamah ditangguhkan sehingga jam 11.20 pagi ini sebelum memutuskan bentuk hukuman ke atas wanita itu. − Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram