Siti Bainun didapati bersalah



KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapati pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bersalah atas dakwaan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun, Bella.

Mahkamah mendapati Siti Bainun bersalah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Hakim Izralizam Sanusi memutuskan sedemikian setelah meneliti kedua-dua pihak pendakwaan dan juga pembelaan sebelum membuat ketetapan.

Kata beliau, pembelaan Siti Bainun bukan sahaja tidak boleh dipercayai dan diterima mahkamah malah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Susulan itu, hakim memberi peluang kepada peguambela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf untuk merayu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

“Pihak pembelaan gagal mengemukakan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan secara keseluruhan.


“OKT (Siti Bainun) didapati bersalah sabitkan atas kesalahan pertama dan kedua. Selanjutnya saya memberikan pihak-pihak berhujah mengenai hukuman OKT (Orang Kena Tuduh),” katanya hari ini. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika ini pihak pembelaan dan pendakwaan sedang berhujah hukuman terhadap Siti Bainun. – MG




Join our Telegram Channel
Telegram